TAWARAN TEMUDUGA UNIT TVET JABATAN PENDIDIKAN
“Cikgu… lima kali dah miss call tu…”.
“Angkat je la ba…” kata Fayyad dengan nada endah tak endah.
Masa ini tengah layan soalan latihan Rekod Tak Lengkap Kaedah Analisis kelas Prinsip Perakaunan 5 Amanah jam 1 tengahari.
Pelajar tengah semangat, guru pula naik fana sama-sama buat, jawab soalan latihan.
Namun terganggu oleh panggilan dari nombor yang difikirkan dari talian tetap. Ingatkan scammer. Memang perangai aku tidak akan mengangkat panggilan dari nombor yang tidak dikenali.
Akhirnya aku pun menjawab panggilan yang keenam.
Dengan nada serius, aku menjawab “Yeeaaa...”. Pegawai tersebut terus minta maaf. Memang sah panggilan dari talian pejabat. Rakan juga. Sepertinya macam tahu saja aku tengah ada kelas sedang mengajar, beliau berterus terang. Menyatakan pihak beliau menawarkan aku untuk bertugas di jabatan. Aku tersentak.
Di tengah fana menikmati saat indah mengajar secara bersemuka setelah 2 tahun.
Disaat pelajar-pelajar aku mula senyum, faham dan boleh menjawab soalan aras sederhana.
Dikala hanya tinggal 9 bulan sahaja lagi peperiksaan awam bermula.
Ditika ini juga, mereka menawarkan peluang tersebut.
Mereka menjemput aku untuk hadir esok petang. Aku memahami tugas, amanah serta tanggungjawab rakan ku. Aku mengiyakan saja. Kata rakan aku lagi “surat tawaran akan dihantar secepat mungkin.” Lalu aku tamatkan perbualan begitu sahaja.
Kemudian kelihatan pelajar aku berpura-pura mengira membuat latihan tadi. Aku rasa mereka pun sempat mencuri dengar perbualan. Aku katakan kepada mereka.
“Jangan risau la..cikgu akan ada bersama-sama dengan kamu semua SPM nanti”
“Kita sama-sama.” Aku memberikan harapan.
Pantas dicelah.
“Cikgu jangan pergi ar! tetiba salah sorang pelajar perempuan bersuara.
“InsyaAllah…” Aku membalas
“Sampai mana dah kita tadi” aku bertanya kepada pelajar walau dalam hati ku pun sudah mulai gelisah.
Akhirnya, aku memutuskan untuk menolak tawaran yang diberikan. Hati ini masih ingin berada disekolah. Mendengar loceng, suasana bising waktu pagi perhimpunan. Paling akan dirindui ucapan terima cikgu… Belum tiba masanya lagi untuk kesana, diri ini masih lagi hijau. Terima kasih atas tawaran. Menjadi sebahagian dari simpang-simpang kisah perjalanan.