7

By cikgufizi 01 Jul 2020, 11:55:40 Isu Semasa
7

Tujuh tahun telah berlalu tanpa disedari. Begitu pantas masa beredar. Biar sahaja masa itu berlalu kerana itu adalah kitaran kehidupan, namun semangat juang dalam mendidik anak bangsa semakin mekar, malah semakin membara seiring dengan masa.

Siapa sangka  diri ini akan menjadi seorang guru. Bukan sahaja diri sendiri yang terfikir perkara ini, malah daripada kalangan kenalan juga. Inilah kenyataan yang harus aku sedari. Jalan yang aku pilih untuk berjuang dalam melahirkan kemenjadian seorang manusia walau mulanya ini bukanlah jalan yang asalnya aku harus tempuhi. Sungguh aku amat bersyukur. Hikmahnya tidak terjangkau. Kepuasan seorang guru amat sukar diluahkan. 

Pernah suatu ketika dahulu semasa di awal perkhidmatan sebagai guru sandaran di SMK Pantai WP Labuan, aku dikelilingi oleh guru-guru yang hebat dan cemerlang. Terasa naif dan kerdilnya diri ini yang baru sahaja tiga bulan menyelungsuri dunia pendidikan. Pengalaman baru hendak ditimba. Namun benarlah pepatah mengatakan bahawa  pengalaman itu merupakan guru yang paling berharga bagi seorang manusia. Begitu juga dengan diriku. Pejam celik mencecah dua tahun berkhidmat disana. Bimbingan dan tunjuk ajar daripada guru-guru yang hebat sewaktu ketika dahulu juga banyak menjadikan aku yang ada hari ini. Cikgu Fizi. Terima kasih cikgu-cikgu di SMK Pantai, WP Labuan [2009-2010]

Kini, aku kembali semula ke sekolah lama SMK Lajau, WP Labuan selepas berkelana di High School Klang, Selangor. Berkhidmat di sekolah sendiri yang dahulunya tempat aku menimba ilmu. Dulu aku sebagai murid namun kini aku pula sebagai guru di sini. Bertugas bersama-sama bekas guruku yang kini sebagai rakan sekerja. Mulanya agak janggal dan kekok, bukan kerana tidak biasa namun perasaan hormatku pada mereka. Hormatku pada mereka yang menjadi guruku. Mereka yang tahu siapa aku sewaktu zaman sekolah dulu. Mereka yang dahulunya mendidik aku untuk menjadi seorang manusia dek kerana kenakalanku dahulu. Kini kami bersama-sama pula dalam medan perjuangan pendidikan yang pastinya semakin mencabar. Akan aku genggam amanat ini dan janjiku untuk melakukan perkara yang sama sepertimana guru guruku mendidik aku dahulu di sini. Semoga Allah membalas setiap kebaikan dan merahmati guru-guruku. Terlalu banyak jasa kalian yang tidak terucap. Hanya Allah yang mengetahui. Buat rakan-rakan sekerja yang lama dan baharu, terima kasih diucapkan. Hanya doa yang aku sisipkan di atas sokongan, tunjuk ajar,dan semangat yang dikongsi bersama. Suka, duka, gelak, tawa, tangis dan gembira. Di SMK Lajau adalah saksi segala. Kita akan terus kuat untuk kekal bersama sebagai satu pasukan dalam mencapai matlamat.

Walau sudah masuk ke angka 7 dalam perkhidmatan, namun aku yakin aku masih dalam keadaan ‘hijau’ lagi. Bukan ranum. Banyak lagi yang perlu dipelajari. Bukan fasa untuk aku kelihatan mahu selesa di arena ini tapi untuk aku perlu lebih bekerja keras untuk muridku. Kejayaan mereka dalam kehidupan adalah kebahagiaan aku sebagai seorang guru. Cemerlang bagiku bukanlah hanya sekadar di peperiksaan atau pelajaran, itu bonus buat dirinya dan keluarga. Tetapi kejayaan yang sebenar di dalam kehidupan adalah melahirkan murid yang berakhlak mulia.

Seiring dengan pertambahan tahun perkhidmatanku sebagai seorang pendidik, aku juga perlu berusaha untuk menambah ilmu, kemahiran dan kepakaran diriku sendiri untuk lebih maju ke hadapan. Bukan di takuk lama sahaja. Aku perlu berubah dan mencari perubahan untuk kebaikan bersama. Dan aku pastinya mencari segenap ilmu untuk memantapkan lagi perjuanganku dalam arena pendidikan ini dan hasilnya pastinya adalah untuk anak muridku sendiri dan sekolahku yang tercinta.  Pencapaian seperti Perkongsian Inovasi bahan PdPc Perdagangan Tingkatan 4 SPECULATION 2016 , Perdagangan Tingkatan 5 STARBAK 2017 , Geografi Tingkatan 1 AziWheel  ke peringkat kebangsaaan tahun 2018 antara pembakar semangatku untuk lebih cemerlang lagi. Malah untuk tahun 2019, anjakan aku dalam integrasi teknologi sesuai dengan peredaran masa adalah dengan mempunyai laman web sendiri Cikgufizi.com sebagai pusat pembelajaran dan info pendidikan.  Segalanya di sini untuk dirujuk bukan sahaja murid malah para guru.

Apa yang aku pelajari sepanjang tempoh ini adalah tahun pertama hingga ketiga adalah fasa untuk aku menyesuaikan diri dengan budaya sekolah. Tahun ke dua sehingga lima adalah tempoh untukku meningkatkan dan memantapkan pengisian skill master. Seterusnya tahun ke enam sehinggalah ke tempoh akan datang merupakan fasa aku untuk mengetahui arah tujuku sendiri dalam dunia pendidikan ini. Apa yang aku mahukan dan kecapi.

Harapanku agar aku dapat menjadi lebih cemerlang pada masa akan datang menjadi impianku. Aku perlu mempunyai target kerana dengan adanya target, ianya banyak mencorakkan hala tuju dan cara bekerja bagaimana aku mampu mencapainya. Namun itu bukanlah matlamat utamaku. Jika ada, ianya sebagai bonus untukku untuk memberikan yang lebih baik untuk anak muridku dalam dunia pendidikan ini.

Jika kamu mahu menjadi seorang guru, tiga perkara utama yang boleh aku kongsikan untuk kita bersama-sama saling mengingati adalah pertama adaptasi dengan persekitaran sekolah dan rakan rakan. Kedua, seorang guru perlu menjadi seorang yang fast learner, sesuai dengan perubahan zaman kini. Dan yang ketiga adalah syukur dan sabar. Tetapkan niat kerana Allah. Ladang pahalamu disini. Pilihan di tangan kita kerana guru adalah insan yang sangat dimuliakan di dalam Islam dan diberi kedudukan yang tinggi sesuai dengan peranannya dalam memberi impak kepada masa hadapan anak murid juga umat keseluruhannya.

Kerana jiwaku disini. Roh seorang guru di hatiku. Semoga diriku diberikan kesihatan yang baik agar aku mampu untuk meneruskan perjuangan dan mencapai impianku. Amin.

Sempena ulangtahun perkhidmatanku yang ke 7 ini, cikgufizi.com adalah hadiah untuk semua.

Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan dan rahmat Ilahi.

Salam 7 ketujuh.

p/s : meja zaman mula-mula 1st postinglaugh




Write a Facebook Comment

Komentar dari Facebook

Write a comment

Ada 525 Komentar untuk Berita Ini

View all comments

Write a comment